RoundUp 27 - 31 Mac 27 Mac UPSI CIPTA REKOD MENERUSI TARIAN TRADISIONAL (Pix) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencipta rekod baharu Malaysia Book of Records menerusi 'Tarian Tradisional Terbanyak Dalam Satu Acara' baru-baru ini. 280 penari mempersembahkan 30 tarian tradisional pelbagai kaum dua jam tanpa henti. Antara tarian yang dipersembahkan ialah Zapin; Sumazau; Bharathanatyam; Bangra; Mak Yong; Sewang; Khatak; Inang Lama; Zapin Bunga Hutan serta tarian Naga dan Singa. Program dianjurkan bagi mengeratkan perpaduan kaum selain memberi pendedahan tentang keunikan budaya dan tarian tradisional di negara ini. WARGA EMAS LUMPUH BERGANTUNG PADA CUCU EMPAT TAHUN (Pix) Khatijah Mohamad Yusuff, 63, yang lumpuh separuh badan hanya bergantung kepada bantuan cucu perempuan berusia empat tahun. Khatijah yang tinggal di 11F Hilir Solok Sungai Pinang bersama cucunya, Nur Iman Umairah hanya mampu duduk di atas katil. Wanita ini hilang tempat bergantung sejak kematian suaminya pada Oktober lepas. Khatijah menerima bantuan RM350 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Wang bantuan hanya cukup membayar sewa rumah, bil elektrik dan air. Nur Iman ditinggalkan sejak dia dilahirkan oleh anak perempuan tunggal . SITI SARAH DAN SEPAHTU BERGABUNG GEGARKAN MENARA KL (Pix) Penyanyi Siti Sarah Raisuddin bakal mengadakan persembahan di Menara Kuala Lumpur April ini. Persembahan dijadualkan berlangsung pada 13 April di Megaview Banquet Hall, Menara Kuala Lumpur. Ia diadakan bersempena Sambutan Minggu Setiausaha. Siti Sarah berkata persembahan itu merupakan persembahanan kali kedua beliau di Menara Kuala Lumpur. Difahamkan beliau bakal mempersembahkan kira-kira enam lagu dan berganding bahu bersama pelawak Sepahtu. 28 Mac SONGKET MALAYSIA BAKAL DIKETENGAHKAN DI MUZIUM PERANCIS (Pix) Songket Malaysia antara barangan pameran yang bakal diketengahkan di Muzium Kesenian Asia Guimet. Ini berikutan dengan penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara muzium itu dengan Muzium Kesenian Islam Malaysia baru-baru ini. Menurut Ketua Jabatan Kurator Muzium Kesenian Islam Malaysia, Dr Heba Nayel Barakat MoU ini akan mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua kerajaan. Di samping itu, ia dapat mencipta lebih peluang untuk pertukaran budaya. Perkongsian ini juga akan menyaksikan lebih banyak pameran dari Malaysia ke Perancis dan sebaliknya. PENDAKI TERTUA MALAYSIA SEDIA UNTUK PERCUBAAN KEDUA MENDAKI EVEREST (Pix) Pendaki gunung tertua Malaysia James Lee Chong Meng, 69, bersiap sedia melakukan percubaan kali kedua mendaki Gunung Everest. Lee berkata pengalamannya tahun lepas memberikannya pemahaman lebih baik mengenai 'bumbung dunia' itu. Pada Mei 2016, Lee membatalkan pendakian ke kemuncak Gunung Everest akibat cuaca buruk. Ketika itu beliau sudah sampai di Kem III di ketinggian 7,200 meter. Dua pendaki lagi ialah Eugene Kwan Jyh Sin, 47, dan Chong Nyuk Kooi, 49. UKM, UiTM PERINTIS PROGRAM 'GAP YEAR' (Pix) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dipilih menjadi perintis bagi program 'Gap Year'. Program ini akan bermula September tahun ini. Ia membolehkan penuntut universiti awam mengambil setahun daripada tempoh pengajian untuk bekerja dalam bidang diminati atau menjalankan aktiviti kesukarelawan. UKM dan UiTM turut menjalinkan kerjasama dengan Polis DiRaja Malaysia, Program Latihan Khidmat Negara, Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia menerusi program ini. CALVIN THOO, ZANG TOI MERIAHKAN MILE 2017 (Pix) Pereka fesyen bertaraf antarabangsa Calvin Thoo dan Zhang Toi adalah antara nama yang bakal memeriahkan Pameran Gaya Hidup Islam Antarabangsa Malaysia (MILE) 2017. Ketua Pegawai Eksekutif MILE Ahmad Khairo Othman berkata dua ikon bertaraf antarabangsa itu akan mempersembahkan rekaan terbaharu berkonsepkan Muslimah. Pameran ini akan berlangsung dari 5 hingga 8 April di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Pereka fesyen Jovian Mandagie pula akan mengadakan sesi perkongsian dalam bidang rekaan fesyen dan industri makanan. MILE 2017 pertama kali diadakan tahun ini bersempena penganjuran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke-14. WAN AHMAD SHABRI DILANTIK KETUA PENGARAH RISDA BAHARU (Pix & Video) Datuk Wan Ahmad Shabri Zainuddin Wan Mohamad dilantik Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang baharu. Pelantikan ini berkuat kuasa 22 Mac yang lalu. Pelantikan ini bagi menggantikan Mohd Najib A. Samad yang tamat perkhidmatannya pada 21 Mac. Pelantikan diwar-warkan semasa majlis perhimpunan bulanan di Auditorium Sultan Ahmad Shah, Ibu Pejabat RISDA baru-baru ini. Pada majlis sama, RISDA turut melancarkan buku panduan Pengenalpastian Klon Getah. Buku ini bertujuan meningkatkan tahap kemahiran dalam mengenali dan membezakan sifat-sifat pada klon yang disyorkan kepada pekebun kecil. GURU DAN PELAJAR MASUK PERCUMA KE PULAU ORANG UTAN (Pix) Sempena Hari Terbuka di Pulau Orang Utan, Bukit Merah, Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah menawarkan kemasukan percuma ke pulau itu. Kemasukan percuma ini ditawarkan kepada guru dan pelajar bermula 1 hingga 30 April ini. Setiap sekolah di seluruh negara boleh menghantar tiga orang guru dan dua orang pelajar bagi mengikuti hari terbuka itu. Objektif hari terbuka itu adalah untuk mempromosikan Pulau Orang Utan sebagai satu daripada destinasi pelancongan di Perak sempena Tahun Melawat Perak 2017. 29 Mac BERNAMA NEWS CHANNEL LANCAR EMPAT PROGRAM BUAL BICARA (Pix & Video) https://www.youtube.com/watch?v=2W_MWM55qlU Bernama News Channel (BNC) akan menyiarkan empat program bual bicara April ini menerusi lima platform iaitu saluran 502 Astro, saluran 410 HyppTV, saluran MyTV 121, www.bernama.com dan webtv.bernama.com. Program itu -- Nine-11, Famous 2 Famous, Hijabsters dan Biz Talk -- akan membicarakan mengenai kehidupan harian, isu sosial, memasak, fesyen Muslim serta perniagaan. Program Famous 2 Famous dan Hijabsters kini memasuki musim kedua sementara Biz Talk dan Nine-11 merupakan program baharu. Nine-11 ialah program bual bicara berkonsep santai, berinformasi dan menghiburkan dalam Bahasa Malaysia yang khusus mengupas isu-isu semasa. Ia akan dikendalikan oleh personaliti televisyen seperti Norish Karman dan Masrenny Masri. PELATIH GIATMARA MEMENUHI KEBOLEHPASARAN KERJA (Pix) GiatMara sentiasa memastikan kursus-kursus yang ditawarkan mampu melahirkan pelatih yang memenuhi keperluan kebolehpasaran kerja. Menurut Anggota Lembaga Pengarah GiatMara Malaysia Nor Hazreena Mohamad Hashim pihaknya memastikan bekas pelatihnya mampu menjana pendapatan melalui kemahiran yang dipelajari. Menurutnya lagi sebahagian besar pelatih yang dihasilkan memperoleh pekerjaan dalam bidang industri mahupun membuka sendiri perniagaan. KAJIAN SISTEM INSURANS PEKERJAAN SIAP (Pix) Kajian Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang telah siap dijangka dibentangkan di Parlimen Jun atau Julai tahun ini. Menteri Sumber Manusia Datuk Richard Riot berkata kerajaan mengambil masa hampir tiga tahun untuk menyiapkan kajian itu. Ia melibatkan 35 perbincangan dengan syarikat pekerjaan dan peserta industri. Para pegawai turut dihantar ke Korea Selatan dan Jepun bagi meneliti sistem mereka. SIP dijangka dilaksanakan pada 1 Jan 2018 manakala bayaran faedah akan dibuat bermula 1 Jan 2019. SIP diperkenalkan buat pertama kali pada Bajet 2015. Ia bertujuan membantu pekerja yang diberhentikan menerusi bantuan kewangan sementara. Selain itu ia juga menyediakan peluang latihan semula dan peningkatan kemahiran. SEMPOI CHARITY ANJUR 'FUN WALK' DI TAMAN BURUNG KL (Pix) Sempoi Charity, kumpulan sukarelawan pelbagai kaum biaya sendiri, menganjurkan acara jalan kaki atau 'fun walk' pada 13 Mei ini. Ia bertujuan mengumpulkan dana bagi Jaringan Kampung Orang Asli Malaysia (JKOASM). Acara 'fun walk'sejauh 2.5 km itu akan diadakan di Taman Burung Kuala Lumpur. Ia menyasarkan 2,000 peserta. Fun Walk ini juga berfungsi sebagai platform mewujudkan kesedaran pentingya memelihara alam sekitar serta flora dan fauna terutama burung. Dana yang dikumpul akan disalurkan kepada JKOASM untuk program outreach buat belia dan wanita. JKRF LULUS TAYANGAN BEAUTY AND THE BEAST TANPA POTONGAN https://www.youtube.com/watch?v=iXfEc4wG208 Kelulusan tayangan filem 'Beauty and The Beast' di bawah klasifikasi P13 tanpa potongan diputuskan Jawatankuasa Rayuan Filem (JKRF). Ia bukannya diputuskan oleh Lembaga Penapis Filem (LPF). Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjelaskan JKRF ialah jawatankuasa yang bebas daripada LPF. Ia ditubuhkan berdasarkan Akta Penapisan Filem 2002 dan tidak terikat dengan keputusan LPF. JKRF diperuntukkan kuasa untuk mengesahkan, mengubah atau mengakas keputusan LPF. KDN berkata pandangan LPF membuat 'u-turn' atau mengubah keputusannya dalam menonton tapis filem Beauty and The Beast adalah tidak berasas. LPF menonton tapis filem Beauty and the Beast itu pada 17 Feb dan memberi keputusan Lulus Dengan Pengubahan (LDP). Keputusan ini melibatkan tiga potongan dan satu dialog disenyapkan kerana ia mengandungi elemen mempromosi gaya hidup gay. Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan LPF boleh mengemukakan rayuan kepada JKRF dalam masa 30 hari dari tarikh keputusan LPF. DEGO RIDE: MALAYSIA CONTOHI NEGARA MAJU (Pix) Malaysia akan mencontohi Tokyo, Singapura, London dan New York yang tidak menggunakan operasi teksi motosikal di bandar mereka. Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata langkah ini diambil bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya. Beliau menjawab soalan pada persidangan Dewan Rakyat yang ingin tahu kenapa Dego Ride tidak dibenarkan beroperasi. Ab Aziz berkata kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati risiko pengguna motosikal terlibat dalam kemalangan maut dan kemalangan yang mengakibatkan cedera parah adalah 42.5 kali lebih tinggi berbanding bas dan 16 kali lebih tinggi berbanding kereta. 30 Mac USAHAWAN, PEGAWAI MARA PERLU SENTIASA BERINTERAKSI (Pix) Usahawan dan pegawai Majlis Amanah Rakyat (MARA) perlu menjalin hubungan yang baik. Ini bagi memastikan kegemilangan agensi itu dalam usaha melahirkan usahawan yang berdaya saing dan kreatif. Pengerusi MARA Datuk Dr Yusof Yacob berkata usahawan dan pegawai MARA perlu sentiasa berinteraksi untuk mengetahui masalah dan perkembangan mereka. Beliau berkata usahawan mesti peka dengan perubahan yang berlaku dalam MARA. Mereka juga perlu sentiasa belajar untuk meminta informasi daripada pegawai MARA. BERNAMA, ARABI MEDIA GROUP BEKERJASAMA RAPATKAN JURANG ANTARA RAKYAT M'SIA, DUNIA ARAB (Pix) Arabi Media Group bersama rakan strategiknya, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) akan bekerjasama untuk merapatkan jurang antara rakyat Malaysia dan warga dunia Arab. Naib Pengurus Besar Arabi Magazine Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid Hamidi berkata kerjasama ini termasuk berkongsi kandungan berita untuk disiarkan dalam Arabi Magazine. Menurutnya kerjasama ini akan menjadi platform bagi kedua-dua agensi berita untuk bertukar-tukar kandungan berita meliputi politik, ekonomi dan pelancongan. STESEN MINYAK IKUT HARGA JUALAN RUNCIT DITETAPKAN KERAJAAN (Pix) Semua stesen minyak dibenarkan menjual petrol dan diesel pada harga jualan runcit seperti yang ditetapkan kerajaan. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berkata ia mendapat maklumat terdapat aplikasi telefon pintar yang membolehkan pengguna mengemas kini harga jualan runcit petrol dan diesel di semua stesen minyak di Malaysia. Menurutnya paparan harga yang tidak tepat aplikasi tersebut menimbulkan kekeliruan dan salah faham dalam kalangan pengguna. KPDNKK tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sekiranya situasi menjadi di luar kawalan. JUALAN AMAL 'KINDNESS COOKIES' DALAM ETS BANTU OKU (Pix) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dengan kerjasama Syarikat Brahim's Sats menganjurkan jualan amal 'Kindness Cookies' di dalam ETS sehingga 30 April. Kempen itu bagi membantu golongan kurang upaya pembelajaran mempromosikan produk buatan mereka kepada penumpang perkhidmatan tren elektrik (ETS). Para penumpang ETS boleh mendapatkan 'Kindness Cookies' terdiri daripada Chocolate Chips Cookies, Viennese Cookies dan Red Pearl Cookies dengan harga RM1. Kesemua biskut adalah hasil buatan sendiri oleh golongan kurang upaya yang menghadapi masalah pembelajaran. Hasil jualan itu akan disumbangkan kepada Pertubuhan Kelainan Upaya Pembelajaran, Petaling, Selangor (GOLD). KELAB KAKITANGAN BERNAMA ANJUR FIT BERNAMA, JAYAKAN GAYA HIDUP SIHAT (Pix) Hasil kejayaan penganjuran dua siri program 'The Biggest Loser' anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bernama (Benita), menjadi pemangkin buat warga Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) untuk terus mengamalkan gaya hidup sihat. Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh berkata Benita akan bekerjasama dengan Kelab Kakitangan Bernama untuk menganjurkan satu program baharu iaitu 'Fit Bernama'. Program akan bermula Julai ini dan bakal memanfaatkan lebih ramai kakitangan BERNAMA. KAD CERIA W.PERSEKUTUAN RINGANKAN PERBELANJAAN PENDUDUK (Pix) Warga Wilayah Persekutuan kini boleh menikmati diskaun pembelian barangan dan perkhidmatan sehingga 70 dengan pelancaran Kad Ceria Wilayah Persekutuan. Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata kad itu akan diedarkan secara berperingkat kepada penduduk di ibu negara, Putrajaya dan Labuan khususnya yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat dan Perumahan Awam. Satu juta kad akan diberikan secara percuma untuk membantu mengurangkan beban perbelanjaan pengguna. 220 syarikat melibatkan 440 cawangan yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan di Wilayah Persekutuan bekerjasama dengan kementerian untuk menawarkan diskaun secara terus kepada pemegang kad. Antara rakan dagang yang terlibat adalah 7-Eleven, Berjaya Hotels and Resorts, Berjaya University College of Hospitality, Borders, Kenny Rogers, KK Supermart & Superstores, KLCC Food Truck, Menara Kuala Lumpur, Mydin, Pusat Pakaian Hari-Hari, Radioshack, Rasa Utara, Singer dan Wendy's. 31 Mac SAMAN SHILA AMZAH TERHADAP WARTAWAN KOSMO DITOLAK (Pix) Mahkamah Tinggi menolak saman penyanyi Shila Amzah terhadap seorang wartawan hiburan dan dua pihak lain. Saman ini berkaitan dengan penerbitan artikel berunsur fitnah yang disiarkan dalam akhbar Kosmo! pada 17 Sept 2014. Hakim Datuk Rosnaini Saub membuat keputusan itu selepas menerima pembelaan defendan bahawa artikel yang diterbitkan itu mengandungi ulasan saksama dan tidak berniat jahat. Mahkamah itu juga mendapati artikel yang diterbitkan Kosmo! adalah dibuat di bawah perlindungan bersyarat. Mahkamah juga memutuskan Shila atau sebenarnya Nurshahila Amir Amzah sebagai selebriti perlu terbuka dalam menerima kritikan. Mahkamah memerintahkan Shila membayar kos RM20,000 kepada ketiga-tiga defendan iaitu wartawan hiburan akhbar Kosmo! Maliah Surip,36, pengarang akhbar itu dan penerbit akhbar berkenaan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad. Shila yang diwakili peguam Mahendra Kumar dan syarikatnya, Shila Amzah Entertainment Berhad selaku plaintif memfailkan saman pada 16 Jan 2015. Dalam pernyataan tuntutan, beliau mendakwa Maliah telah menulis beberapa artikel yang diterbitkan dalam akhbar Kosmo! antara lain mengaitkan konsert 'Shila Amzah-Love Live in Malaysia' di Mega Star Arena di sini pada 13 Sept 2014 ditaja oleh syarikat judi terbesar di negara ini dan beliau juga dikatakan memperlekehkan media Melayu.